Tuesday, 27 November 2012


FRASA SENDI NAMA
            Frasa sendi nama ialah frasa yang terdiri daripada satu kata sendi dan satu frasa nama. Frasa sendi nama juga boleh diertikan sebagai binaan dalam ayat yang mengandungi sendi nama dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Oleh itu, sendi nama hanya hadir di hadapan frasa nama.
Binaan frasa sendi ‘di’: Frasa sendi “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. “Di” ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.
Contoh  : Kata Sendi   +       Frasa Nama
                   di                 sekolah, Kuantan, atas meja, sebelah timur
Contoh ayat:
1.Ayah terpaksa menyewa rumah diKuantan kerana urusan kerja yang diuruskan mengambil masa yang panjang. (salah)
2.Ayah terpaksa menyewa rumah di Kuantan kerana urusan kerja yang diuruskan mengambil masa yang panjang. (betul)
Menurut Awang Sariyan (1980:14), kesalahan umum penggunaan kata sendi nama terbahagi kepada dua iaitu :
a)Kesalahan penggunaan kata sendi
b)Pengabaian penggunaan kata sendi.
Kata sendi yang seringkali salah digunakan ialah “di” dan “pada”, “dari” dan “daripada’ serta “ke” dan “kepada”. Frasa sendi “di” tidak boleh ditulis di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman.
Contoh : Kata Sendi    +       Frasa Nama (Waktu, Masa, Zaman)
                   di                     pagi ini, ketika itu, hari raya, waktu senja
Contoh ayat :
Salah:
Di hari raya yang lalu, ibu memasak ketupat, rendang dan kuih untuk dijamu kepada tetamu.
Ibu saya tidak bekerja di Hari Kebangsaan.
Frasa nama yang menerangkan waktu, masa, zaman perlu menggunakan frasa sendi “pada”.
Contoh ayat:
Betul:
Pada hari raya yang lalu, ibu memasak ketupat, rendang dan kuih untuk dijamu kepada tetamu.
Ibu saya tidak bekerja pada Hari Kebangsaan.
Binaan frasa sendi “dari” :
Contoh ayat :
 Salah :
Rushdi telah berpindah daripada sekolah ini bulan lalu.
Daripada saat ini, saya akan sentiasa hadir ke sekolah.
Betul :
Rushdi telah berpindah dari sekolah ini bulan lalu.
Dari saat ini, saya akan sentiasa hadir ke sekolah.

No comments:

Post a Comment