KARNIVAL PENDIDIKAN, SENI BUDAYA DAN KEUSAHAWANAN.
Pada 10 NOVEMBER 2012, bersamaan hari Sabtu; SK Charuk Puting telah mengadakan Karnival Pendidikan, Seni Budaya dan Keusahawanan. Agenda terakhir bagi sesi persekolahan 2012 ini telah dirasmikan oleh YB En. Norul Azali, ADUN Guai bersempena meraikan kecemerlangan murid-murid di samping mempamerkan Bilik Seni dan menjalankan aktiviti jual-beli di sekolah yang dikendalikan oleh guru-guru dan murid-murid. Agenda terbesar ini diadakan walaupun keputusan UPSR belum diumumkan bagi menepati kehendak takwim sekolah. Sekalung tahniah diucapkan kepada murid-murid yang mencapai kejayaan.
Namun begitu, majlis pada kali ini tidak dapat aku sertai kerana menyahut tugasan sebagai seorang pelajar yang perlu menghadirkan diri ke kelas kuliah di Kuantan. Sungguhpun terasa sayu kerana tidak dapat bersama-sama pada hari terakhir meraikan murid-murid Tahun 6 yang akan menamatkan persekolahan di SK Charuk Puting, namun begitu kesayuan terubat jua apabila bertemu rakan-rakan seperjuangan di PSDC dan bersama-sama memerah otak menjawab soalan kuiz KPD yang diberikan oleh 'tutor'.
Syukur diucapkan ke hadrat Illahi kerana insya Allah, dengan izinNya pada 19 NOVEMBER, 2012 (Isnin) ini aku akan bertemu kembali dengan anak-anak muridku apabila keputusan UPSR diumumkan kelak. Semoga anak-anak muridku mendapat keberkatan Allah swt. dengan memperoleh keputusan yang memberangsangkan walaupun tahun ini adalah tahun yang agak mencabar dengan murid-murid yang agak nakal dan kurang memberikan tumpuan kepada pelajaran. Semoga usaha-usaha yang telah dilakukan oleh semua rakan-rakan guru untuk memajukan anak didik di SK Charuk Puting mendapat timbal balas sebagai amanah saham di akhirat kelak. Tidak lupa juga kepada pihak pengurusan terutamanya Tuan Guru Besar, Tn. Hj. Abd Azis b. Md Isin yang btelah bertungkus-lumus bersama-sama dengan guru-guru tahun 6 bagi memastikan kejayaan mereka dapat dicapai.
No comments:
Post a Comment