Tuesday, 11 December 2012




PERKONGSIAN ILMU.


Menawar, menawari dan menawarkan

1.    menawar bermaksud meminta supaya dikurangkan    atau diturunkan harga sesuatu.

Ayat contoh:

            Kalau pandai menawar, kita akan memperoleh 
            harga yang lebih murah.

        2.   menawari pula bermaksud memberikan sesuatu 
        (pekerjaan dsb) kepada seseorang.

Ayat Contoh:

            Syarikat itu menawari beliau jawatan sebagai 
            pengurus.

         3.   menawarkan bermaksud menunjukkan sesuatu supaya 
         dibeli; mengunjukkan atau mengemukakan sesuatu

          supaya diterima, dipakai dsb:

    a. Penjaja itu menawarkan barang-barang jualannya.

    b.Kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar yang
       cemerlang.

    c. Syarikat itu menawarkan jawatan sebagai pengurus 
        kepada beliau. 

Monday, 10 December 2012


BAHAN BANTU MENGAJAR.



Semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan, kaedah memulakan pengajaran atau set induksi amat penting untuk menarik minat murid. Bahan ini digunakan untuk memulakan tajuk 'Badan Sihat, Otak Cerdas'.
Murid-murid diminta menampalkan kad maksud pantun dengan betul di papan hitam.

Friday, 7 December 2012



KATA BILANGAN

Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menyatakan jumlah sesuatu. Kata bilangan digunakan di hadapan frasa nama. Terdapat beberapa jenis kata bilangan seperti berikut:
1. Kata bilangan tentu   : dua, dua puluh, satu juta.
2. Kata bilangan tak tentu : segala, semua, para, seluruh, sedikit, seberapa.
3. Kata bilangan pisahan : setiap, tiap-tiap, masing-masing.
4. Kata bilangan pecahan : suku, separuh, sepertiga.
5. Kata bilangan himpunan : beratus-ratus, berhari-hari, berguni-guni.
6. Kata bilangan tingkat (ordinal) : pertama, ketiga, kesepuluh.
Contoh-contoh kesalahan yang sering berlaku:
Pusat Sumber Sekolah Sungai Gau telah menjalankan berbagai aktiviti sepanjang tahun ini.
Harga setiap biji kelapa adalah sama.
Para hadirin sekalian dipersilakan duduk.
Beribu orang membanjiri Padang Pahlawan sempena Sambutan Hari Kebangsaan.
Sepatutnya :
Pusat Sumber Sekolah Sungai Gau telah menjalankan berbagai-bagai aktiviti sepanjang tahun ini.
Pusat Sumber Sekolah Sungai Gau telah menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini.
-Berbagai bukan kata bilangan tetapi bermaksud tiada bandingan. Penggunaan yang betul ialah berbagai-bagai atau pelbagai.
Harga setiap kelapa adalah sama.
-Kata bilangan pisahan  “setiap” tidak perlu diikuti dengan penjodoh bilangan.
Para hadirin dipersilakan duduk.
Hadirin sekalian dipersilakan duduk.
-Kata bilangan yang menunjukkan maksud jamak seperti para dan sekalian tidak boleh digunakan serentak.

Tuesday, 27 November 2012


FRASA SENDI NAMA
            Frasa sendi nama ialah frasa yang terdiri daripada satu kata sendi dan satu frasa nama. Frasa sendi nama juga boleh diertikan sebagai binaan dalam ayat yang mengandungi sendi nama dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Oleh itu, sendi nama hanya hadir di hadapan frasa nama.
Binaan frasa sendi ‘di’: Frasa sendi “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. “Di” ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.
Contoh  : Kata Sendi   +       Frasa Nama
                   di                 sekolah, Kuantan, atas meja, sebelah timur
Contoh ayat:
1.Ayah terpaksa menyewa rumah diKuantan kerana urusan kerja yang diuruskan mengambil masa yang panjang. (salah)
2.Ayah terpaksa menyewa rumah di Kuantan kerana urusan kerja yang diuruskan mengambil masa yang panjang. (betul)
Menurut Awang Sariyan (1980:14), kesalahan umum penggunaan kata sendi nama terbahagi kepada dua iaitu :
a)Kesalahan penggunaan kata sendi
b)Pengabaian penggunaan kata sendi.
Kata sendi yang seringkali salah digunakan ialah “di” dan “pada”, “dari” dan “daripada’ serta “ke” dan “kepada”. Frasa sendi “di” tidak boleh ditulis di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman.
Contoh : Kata Sendi    +       Frasa Nama (Waktu, Masa, Zaman)
                   di                     pagi ini, ketika itu, hari raya, waktu senja
Contoh ayat :
Salah:
Di hari raya yang lalu, ibu memasak ketupat, rendang dan kuih untuk dijamu kepada tetamu.
Ibu saya tidak bekerja di Hari Kebangsaan.
Frasa nama yang menerangkan waktu, masa, zaman perlu menggunakan frasa sendi “pada”.
Contoh ayat:
Betul:
Pada hari raya yang lalu, ibu memasak ketupat, rendang dan kuih untuk dijamu kepada tetamu.
Ibu saya tidak bekerja pada Hari Kebangsaan.
Binaan frasa sendi “dari” :
Contoh ayat :
 Salah :
Rushdi telah berpindah daripada sekolah ini bulan lalu.
Daripada saat ini, saya akan sentiasa hadir ke sekolah.
Betul :
Rushdi telah berpindah dari sekolah ini bulan lalu.
Dari saat ini, saya akan sentiasa hadir ke sekolah.

Thursday, 15 November 2012


KARNIVAL PENDIDIKAN, SENI BUDAYA DAN KEUSAHAWANAN.


          Pada 10 NOVEMBER 2012, bersamaan hari Sabtu; SK Charuk Puting telah mengadakan Karnival Pendidikan, Seni Budaya dan Keusahawanan. Agenda terakhir bagi sesi persekolahan 2012 ini telah dirasmikan oleh YB En. Norul Azali, ADUN Guai bersempena meraikan kecemerlangan murid-murid di samping mempamerkan Bilik Seni dan menjalankan aktiviti jual-beli di sekolah yang dikendalikan oleh guru-guru dan murid-murid. Agenda terbesar ini diadakan walaupun keputusan UPSR belum diumumkan bagi menepati kehendak takwim sekolah. Sekalung tahniah diucapkan kepada murid-murid yang mencapai kejayaan.

         Namun begitu, majlis pada kali ini tidak dapat aku sertai kerana menyahut tugasan sebagai seorang pelajar yang perlu menghadirkan diri ke kelas kuliah di Kuantan. Sungguhpun terasa sayu kerana tidak dapat bersama-sama pada hari terakhir meraikan murid-murid Tahun 6 yang akan menamatkan persekolahan di SK Charuk Puting, namun begitu kesayuan terubat jua apabila bertemu rakan-rakan seperjuangan di PSDC dan bersama-sama memerah otak menjawab soalan kuiz KPD yang diberikan oleh 'tutor'.

         Syukur diucapkan ke hadrat Illahi kerana insya Allah, dengan izinNya pada 19 NOVEMBER, 2012 (Isnin) ini aku akan bertemu kembali dengan anak-anak muridku apabila keputusan UPSR diumumkan kelak. Semoga anak-anak muridku mendapat keberkatan Allah swt. dengan memperoleh keputusan yang memberangsangkan walaupun tahun ini adalah tahun yang agak mencabar dengan murid-murid yang agak nakal dan kurang memberikan tumpuan kepada pelajaran. Semoga usaha-usaha yang telah dilakukan oleh semua rakan-rakan guru untuk memajukan anak didik di SK Charuk Puting mendapat timbal balas sebagai amanah saham di akhirat kelak. Tidak lupa juga kepada pihak pengurusan terutamanya Tuan Guru Besar, Tn. Hj. Abd Azis b. Md Isin yang btelah bertungkus-lumus bersama-sama dengan guru-guru tahun 6 bagi memastikan kejayaan mereka dapat dicapai.
         


Saturday, 6 October 2012

Mari Berpantun.

Dari Temerloh di pagi hari,
Sampai di PSDC selepas bersarapan,
Belajar lagi, ilmu diperolehi,
Teknologi canggih 'tutor' ajarkan.

Pergi Semambu sebelum ke Beserah,
Kuliah nak mula, alamak terlambatlah,
Masih kelabu nak siapkan falsafah,
Mesti dihantar, tak lama dah..

Soalan:

1. Nyatakan pembayang maksud bagi pantun pertama.

2. Tuliskan semula maksud pantun kedua.

Sunday, 23 September 2012

23 tahun berlalu, kini aku menjadi pelajar kembali. Mampukah aku???